KPM Tepis Dakwaan Tidak Bertanggungjawab Terhadap Guru Memalsukan Sijil Cuti Sakit

Putrajaya, 4 Oktober 2024 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius laporan media yang baru-baru ini mendakwa bahawa guru adalah penjawat awam paling ramai terlibat dalam pemalsuan sijil cuti sakit (MC). KPM menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap profesion keguruan yang selama ini dipandang tinggi.

Menurut KPM, terdapat lebih 400,000 orang guru di seluruh negara yang menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan integriti. Laporan yang tidak berasas seperti ini tidak sepatutnya timbul kerana ia menjejaskan imej guru yang telah memainkan peranan penting dalam mendidik anak bangsa.

Tatakelola penjawat awam, termasuk guru, sentiasa menjadi keutamaan KPM bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kementerian juga mempunyai garis panduan tatatertib yang jelas untuk menangani sebarang salah laku, termasuk pemalsuan sijil cuti sakit. Pemantauan berterusan dilaksanakan di setiap peringkat, dan penjawat awam yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tatatertib sewajarnya.

Dalam usaha menghargai sumbangan besar guru, Kerajaan MADANI, melalui YAB Perdana Menteri, telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada Ogos lalu. Selain itu, KPM juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara kesejahteraan para pendidik, termasuk tujuh langkah yang bertujuan mengurangkan beban tugas guru.

KPM tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan, dan menyeru agar masyarakat sentiasa menghargai peranan penting guru dalam mendidik dan membangunkan negara. Profesion ini seharusnya disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat sebagai tanda penghormatan terhadap usaha dan pengorbanan para guru.

Sumber: KENYATAAN MEDIA PEJABAT MENTERI PENDIDIKAN – 4 Okt 2024