KPM Tegas Ingatkan Institusi Pendidikan Patuhi Garis Panduan Penganjuran Program dan Penerimaan Sumbangan

Putrajaya, 22 Julai 2024 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian serius terhadap laporan media baru-baru ini mengenai penganjuran program amal di sebuah sekolah yang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras. KPM sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai isu tersebut dan menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah kementerian perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Pentadbir sekolah dan institusi pendidikan KPM diingatkan untuk mengikuti Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018, yang jelas melarang penerimaan sumbangan daripada aktiviti yang berkaitan dengan perjudian, rokok, dadah, minuman keras, dan lain-lain aktiviti yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid secara intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
KPM mengalu-alukan inisiatif pihak sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan demi tujuan pembangunan melalui konsep Sekolah Milik Masyarakat. Namun, segala aktiviti tersebut mestilah dilakukan secara beretika dan sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan.
Sebagai sebahagian daripada usaha proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda, KPM terus melaksanakan pelbagai program kesedaran dan pendidikan pencegahan di sekolah-sekolah. Program ini bertujuan membimbing murid agar mereka membesar dengan nilai moral dan kesedaran sosial yang kukuh
Sumber: KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – 22 Julai 2024