Kementerian Pendidikan Malaysia Buka Peluang Rakyat Sumbang Cadangan Untuk Pelan Pendidikan Baharu 2026-2036

Putrajaya, 24 Jun 2024 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan media bertarikh 24-Jun-2024 kini dalam usaha membentuk pelan pembangunan pendidikan baharu yang akan menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang bakal tamat tempohnya tidak lama lagi. Dalam usaha ini, KPM memperkenalkan pendekatan menyeluruh yang dikenali sebagai whole of society approach untuk memastikan pelan pendidikan yang baru nanti adalah lebih komprehensif, holistik, dan melibatkan seluruh masyarakat.
Bagi merealisasikan matlamat ini, KPM mengalu-alukan sumbangan cadangan daripada pelbagai pihak dalam bentuk memorandum atau kertas cadangan. Penyertaan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru, pelajar, komuniti, pihak swasta, serta organisasi bukan kerajaan (NGO). Langkah ini bertujuan memastikan pandangan dan idea pelbagai pihak diambil kira dalam merangka hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 2026-2036.
Sebagai usaha memudahkan proses pengumpulan cadangan, KPM telah melancarkan Portal Cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036, yang boleh diakses melalui pautan www.moe.gov.my/pelanpendidikan2026/public. Portal ini akan menjadi platform utama untuk masyarakat berkongsi idea dan pandangan mengenai pelbagai aspek pendidikan negara, termasuk kurikulum, sistem penilaian, pendidikan teknikal dan vokasional, pengurusan sekolah, dan pembelajaran berasaskan teknologi.
Masyarakat boleh mula menyumbang cadangan mereka melalui portal ini bermula dari 14 Mei 2024 sehingga 31 Disember 2024. Ini adalah satu langkah penting dalam memastikan suara setiap lapisan masyarakat didengari, selaras dengan komitmen KPM untuk menjayakan agenda reformasi pendidikan negara demi manfaat generasi akan datang.
KPM berharap agar semua pihak akan memanfaatkan peluang ini dengan menyumbangkan idea-idea bernas yang mampu memacu pendidikan Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Dengan penglibatan dan kerjasama semua pihak, pelan pendidikan yang bakal dibangunkan diharapkan mampu membentuk masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak Malaysia
Sumber: KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA – 24 Jun 2024